Saturday 5 November 2011

Menjaga kandungan semasa hamil.....Part 2

Salam Aidiladha…..

Riuh-rendah  dengan suara anak-anakku bersama-sama dengan sepupunya, berlari-lari riang ke sana dan ke mari, menceriakan lagi suasana malam raya aidiladha di Felda Raja Alias 1 ( dulunya dikenali Felda Serting). Walaupun malam raya nie tanpa suami di sisi ( sibuk menyiapkan projek di Chulai,Vietnam)  tapi masih memanjat  kesyukuran kerana di beri kesempatan untuk  menyambut Aidiladha sekali lagi bersama ibu dan bapa tercinta.


Sambil memandang anak  yang no.2(Dubeis) berlari terkedek-kedek mengejar sepupunya, teringat kembali Qistina iaitu anak sulungku  semasa umur sebayanya dah dapat adik. Tapi kematangannya tak membuatkan saya merasakan bahawa dia masih anak2 kecil yang masih memerlukan pemantauan . Mungkin mengerti bahawa Mamanya sibuk dengan adiknya yang baru lahir ke dunia. Bila dibandingkan kembali perwatakan Qistina dengan Dubeis pada umur yang sama, ternyata Qistina jauh lebih matang berbanding adiknya. Dubeis masih sentiasa meraih perhatianku untuk setiap apa yang dilakukannya.


Menyingkap kembali saat-saat mengandungkan mereka berdua, tiba-tiba menyapa rasa rindu saat-saat itu………memang terlalu indah dan tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata. Mungkin mereka yang pernah mengandung memahami apa yang saya maksudkan. Jika dulunya perut ini sentiasa ada yang bergerak-gerak, tapi kini kosong  dan senyap kembali. Walaupun perit melahirkan masih terasa terutama semasa melahirkan Dubeis kerana terpaksa ‘induce’, tetapi pedih itu hanya sementara tatkala melihatkan wajah si kecil yang tidak berdosa dan menceriakan setiap saat hidupku…

Menyambung kembali tajuk ‘Menjaga kandungan semasa hamil….Part 1’, kesihatan semasa mengandung amat penting demi kesihatan bayi dan si ibu. Justeru itu, pengambilan makanan tambahan atau ‘supplement’  serta yang seimbang amat penting dalam memastikan bayi dapat berkembang dengan baik. Selain daripada Asid Folik, Vitamin C, Zat besi dan Vitamin B Kompleks, terdapat makanan tambahan lain yang diperlukan semasa mengandung. Di bawah ini adalah makanan tambahan lain yang diperlukan beserta kepentingannya :
  • Kalsium -  Metabolisme kalsium berlaku setiap hari untuk memastikan struktur tulang dalam badan kita adalah terpelihara. Kekurangan kalsium yang kronik boleh mengakibatkan osteoporosis, satu keadaan yang mana tulang menjadi poros dan lemah. Risiko osteoporosis dalam wanita adalah 3 hingga 4 kali lebih tinggi berbanding lelaki. Ini mungkin adalah kerana struktur tulang wanita yang secara amnya lebih kecil diikuti kehamilan, kelahiran anak dan penyusuan bayi , di mana kesemuanya boleh mengakibatkan kehilangan kalsium yang banyak. Kalsium secara amnya boleh diperolehi dalam susu.Namun demikian, ia juga boleh diperolehi daripada sayuran hijau, keju,yogurt, dan kekacang.( kawan-kawan pernah bercerita juga, makan ikan bilis semasa mengandung juga dapat menguatkan tulang. Tetapi saya tetap berkeyakinan bahawa susu merupakan sumber utama untuk memperolehi kalsium)
  • Karbohidrat – Membekalkan tenaga kepada  tubuh badan untuk membolehkan kita membuat kerja serta menjalani segala aktiviti fizikal .Di samping itu,ia membantu mengekalkan suhu badan melalui pengoksidaan karbohidrat dalam proses respirasi. Kekurangannya akan menyebabkan tubuh badan menjadi lemah kerana kekurangan tenaga.Contoh makanan yang membekalkan karbohidrat ialah roti, nasi, ubi kentang, pisang, gula dan ubi kayu.
  • Protein - Digunakan untuk membaiki tisu badan yang rosak dan membina sel baru untuk pertumbuhan tubuh badan. Ia juga untuk penghasilan bahan kimia seperti enzim dan hormon .Protein juga digunakan untuk membekalkan tenaga apabila diperlukan dan pembentukan tulang serta otot .Kekurangannya akan menyebabkan tumbesaran terbantut dan penyakit kwasyiorkor. Sumber protein boleh diperolehi daripada ikan, soya, daging dan telur.
  • Buah-buahan dan sayur-sayuran- penting untuk mengelak dari masalah sembelit sewaktu tempoh  hamil kerana ia kaya dengan serat . Selain dari itu,  buah-buahan juga kaya dengan vitamin C yang baik untuk kulit. Namun begitu, sewaktu di awal kehamilan, elekkan dari mengambil buah-buahan seperti buah nenas bagi mengelakkan masalah keguguran kerana ia dikatakan tajam sehingga boleh mengganggu  sistem rahim.
  • Air - diperlukan dalam tubuh badan manusia sebanyak 70% air. Seseorang memerlukan kira– kira 2 liter atau 6 gelas air sehari tetapi semasa mengandung, kita memerlukan lebih 6 gelas air kerana proses perpeluhan lebih banyak berlaku akibat daripada proses perubahan hormon. Kepentingan air ialah ia dapat membantu proses pencernaan makanan, mengangkut makanan yang tercerna dan oksigen, mengangkut hasil perkumuhan seperti urea dan karbon dioksida, mengawal kepekatan darah dan mengawal suhu badan. Kesan ketara kekurangan air ialah sembelit dan peruses pencernaan terganggu.
Semoga berjumpa lagi di lain 'POST'.....Selamat menyambut Hari Raya AidilAdha.....

No comments:

Post a Comment