"Sebab pulut santan binasa,sebab mulut badan binasa".Begitulah peninggalan warisan budaya sosial melayu yang memperingatkan setiap individu dalam masyarakat agar peka dengan impak negatif yang berpunca daripada mungkar lidah.
Meskipun pepatah berkenaan sekian lama kita fahami,namun ada kalangan mukmin yang memandang ringan dalam aspek memelihara dan menjaga lidah. Banyak suruhan dan perintah Allah seperti ibadah solat,puasa dan haji mampu kita laksanakan dengan baik. Malah kita begitu komited sekali menjayakan ibadah yang disuruh Allah itu. Tetapi mengapa dalam bab menjaga lidah ini kita menjadi lalai dan pandang sebelah mata sahaja.
Banyak sudah berlaku krisis sosial antara individu yang lain berpunca angkara buruk tutur kata dilontarkan. Misalnya perbuatan mengumpat insan yang lain ataupun mengada-adakan cerita tidak benar. Hal ini jika ditinjau perpekstif psikologi jelas akan meninggalkan kesan kejiwaan negatif. Atas soal itulah awal-awal lagi islam menunjukkan agar umatnya berwaspada dengan kurniaan teragung buat manusia ini iaitu lidah.
Saidina Ali Abi Talib ada berpesan, "Bagi orang beriman,lidah yang dikurniakan Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan yang sia-sia,sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara yang berhikmah."